Bagaimana Saya Terjebak Dengan Perniagaan Online?

Friday, February 13, 2015 Ezal M. Isa 6 Comments



Assalamualaikum warahmatullahi Wabarokatuh.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam kerana dengan limpah dan rahmatNya saya masih lagi diberikan kekuatan untuk menulis dan berkongsi dengan para pembaca.

Sebenarnya blog Ezlaila.com ini dibina atas satu matlamat iaitu sebagai platform untuk saya berkongsi dengan para pembaca mengenai perjalanan hidup saya dan isteri yang berusaha mengubah nasib kehidupan daripada kehidupan yang "biasa-biasa" kepada kehidupan yang "luar-biasa" melalui perniagaan yang kami ceburi.

Dan nama Ezlaila tu terjadi hasil daripada gabungan nama saya dan isteri saya, hehe. Jadi maknanya ada 2 orang penulis dalam blog iaitu saya dan isteri saya.

InsyaAllah melalui perkongsian ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu dan memberi inspirasi kepada para pembaca yang masih bekerja tetapi bercita-cita untuk menceburi bidang perniagaan.

Untuk makluman saya bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang menjalankan perniagaan atau yang mempunyai "mindset" perniagaan. Bapa saya merupakan pesara kerajaan manakala ibu saya pula adalah suri rumah sepenuh masa. Dan sejak kecil lagi saya tidak pernah langsung terdedah kepada konsep berniaga ini.

Tetapi sejak saya menamatkan pengajian ijazah dalam bidang Teknologi Maklumat lagi, saya sudah bercita-cita untuk menjadi usahawan.

Lepas berjaya menamatkan pengajian saya telah ditawarkan untuk mengikuti program internship dari Multimedia Development Corporation (MDC) di Cyberjaya dan bekerja dengan sebuah syarikat IT sebagai Analyst Programmer.

Buat masa ini, saya pendamkan dahulu cita-cita saya untuk bergelar usahawan kerana saya fikir sebagai permulaan eloklah saya dapatkan pengalaman sedikit sebanyak dalam industri IT ini dan mengaplikasi ilmu yang saya pelajari selama 4 tahun lebih di universiti.

Gaji permulaan saya sebagai junior Analyst Programmer pada masa tu, iaitu sekitar tahun 2005, RM2000 sahaja, dan lepas tolak EPF semua, dapatlah setiap bulan gaji bersih sekitar RM1800 sahaja.

Waktu mula-mula bekerja tu, rasa seronoklah juga, dapat pengalaman oooo ini rupanya rasa bekerja makan gaji, hehe.

Alhamdulillah, yang seronoknya, oleh kerana syarikat saya bekerja tu berasal dari United Kingdom saya berpeluang berkali-kali pergi ke United Kingdom dan menjejakkan kaki di Kota London untuk bekerja sambil melancong.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, saya akhirnya tak tahan lagi bekerja makan gaji sebagai Analyst Programmer atas beberapa faktor tertentu.

Dan faktor yang paling BESAR dan maharaja kepada faktor-faktor lain adalah kerana hampir setiap hujung bulan baki pendapatan saya hampir-hampir mencecah NEGATIF dan hidup saya sentiasa dalam keadaan cukup-cukup makan sahaja walaupun saya ni bukanlah jenis berbelanja yang bukan-bukan setiap bulan.

Ya laah, seperti kebanyakan orang lain, pandapatan yang saya dapat saya gunakan untuk membayar sewa rumah, installment kereta, bil air, bil elektrik, bil telefon dan makan-minum.

Nasib baik masa ini belum ada awek lagi, kalau tak lagi PARAH. hehe.

Yang paling sedih nak kirim duit untuk mak ayah kat kampung pun tak cukup...sedih..sedih...

Lepas 2 tahun lebih bekerja di syarikat berkenaan, saya pun membuat keputusan berhenti kerja dan memulakan perniagaan sebagai IT Freelancer yang menyediakan perkhidmatan mereka-bentuk laman web.

Dan bermulalah episod pertama saya dalam berada dalam dunia perniagaan...


Aku Terjun dari Dunia Makan Gaji ke Dunia Perniagaan

Saya ingat lagi semasa hari-hari terakhir saya di pejabat, ada sorang Mat Salleh yang menjadi tetamu boss saya berkata kepada saya "Doing business is not easy".

Dalam hati, saya berkata sambil senyum ke arah dia ...."Suka hati akulah, kau peduli aper!"

Dengan hati yang kering, saya tidak mempedulikan kata-kata Mat Salleh tu.

Keputusan sudah dibuat dan saya mesti hidup dengan keputusan yang saya buat itu.

Saya berhempas-pulas memulakan perniagaan freelance saya sendirian.

Macam-macam yang saya lakukan sendirian seperti membuat laman web perniagaan untuk meletakkan info mengenai perkhidmatan yang saya sediakan, mencetak flyers dan poskan kepada syarikat-syarikat, dan menghadiri kursus pendek tajaan MARA untuk mengetahui cara-cara nak naikkan perniagaan saya.

Walaupun mampu mendapatkan beberapa projek pembinaan laman web daripada beberapa syarikat hasil perkenalan saya dengan beberapa orang yang saya temui sewaktu menghadiri seminar keusahawanan, keperitan menjalankan perniagaan freelance ini Allah sahajalah yang tahu.

Salah satu cabaran utama yang saya sering hadapi adalah kesukaran untuk mendapatkan pembayaran setelah projek siap dihantar. 

Kadang-kadang mengambil masa sebulan lebih untuk mendapatkan pembayaran penuh projek.

Pelbagai alasan diberikan syarikat apabila kita mula meminta mereka membuat pembayaran.

Dan antara alasan yang paling popular adalah "Boss outstation, takda orang nak sign cek, kena tunggu boss balik dulu". 

Dan seperti biasa saya jawab "ok, terima kasih" sambil dalam hati menjerit "Arghhhh geramnyer aku".

Namun begitu saya cuba bersabar dan meneruskan perniagaan saya ini.


Dulu Seorang, Kini Berdua.

Kemudian dengan takdir yang telah ditentukan Allah SWT saya telah dipertemukan dengan isteri saya. 

Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang ilustrasi grafik. 

Walaupun saya punya skill grafik lagi power daripada beliau (hehe perasannyer), beliau mempunyai kepakaran melukis kartun yang hebat dan juga mahir menggunakan perisian Adobe Illustrator.

Saya pun amat kagum dengan bakat yang beliau miliki, dan di dalam kepala saya sudah terbayang pelbagai jenis peluang perniagaan yang boleh diusahakan bersama dengan gabungan pengalaman dan skil-skil kami berdua.

Beliau bertugas sebagai Illustrator di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Setelah setahun lebih mendirikan rumahtangga Alhamdulillah kami telah dikurniakan cahaya mata kami yang pertama yang bernama Muhammad Hail Rifqi.

Kami sepakat untuk berhijrah keluar dari Kuala Lumpur ke bahagian Utara Malaysia iaitu Kedah.

Memandangkan saya hanya perlu bekerja secara online sahaja, tiada masalah bagi saya untuk bekerja di mana sahaja. Asalkan ada laptop dan internet, itu sudah cukup untuk saya menjalankan perniagaan freelance saya.

Jadi setelah cukup tempoh notis berhenti kerja yang diberikan kepada syarikat di mana isteri saya bekerja, kami pun berhijrah ke Kedah.

Jitra Kedah menjadi lokasi pilihan kerana di situlah juga ibu bapa mertua saya menetap dan satu lagi saya memang suka suasana kehijauan sawah padi yang terbentang luas di sekitar negeri Jelapang Padi ini.

Rasa tenang gitu, udara pun segar, berbeza dengan suasana di Kuala Lumpur.

Jadi selepas berhijrah bermulalah pula episod kedua dunia perniagaan saya dan isteri.

Perniagaan Online Kad Kahwin

Memandangkan isteri saya tidak lagi bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, saya bersepakat dengan isteri untuk memulakan perniagaan kad dan cenderahati perkahwinan secara online.

Kami memilih perniagaan ini berdasarkan minat dan skil kami berdua.

Beliau memiliki kepakaran dalam bidang ilustrasi grafik manakala saya pula memiliki kepakaran dalam mereka bentuk laman web dan sistem tempahan secara online.

Dengan berbekalkan keyakinan tinggi serta minat, bakat dan skil kami berdua, saya dan isteri mencuba nasib dalam perniagaan percetakan secara online ini.

Hasil pencarian melalui internet, kami bernasib baik kerana dipertemukan dengan seorang yang mempunyai pengalaman dalam bidang percetakan kad kahwin dan cenderahati perkahwinan.

Nama beliau Ismail. Alhamdulillah, beliau sudi bertemu kami dan memberi tunjuk ajar sedikit sebanyak kepada kami mengenai cara-cara menjalankan perniagaan ini.

Beliau juga sudi menerima kami sebagai ejen kad kahwin untuk mencetak kad kahwin yang ditempah oleh para pelanggan.

Memang seronok apabila dapat menjalankan perniagaan yang kita minat ini, ditambah pula ia memang kena dengan latar belakang kita. Tul tak?

Pada tahun pertama perniagaan kami, tempahan kad kahwin yang kami terima memang menggalakkan. 

Pernah satu ketika kami menjuarai tempat pertama dalam Google Search Result dengan menggunakan keyword "kad kahwin".

Pendek kata, orang taip sahaja keyword "kad kahwin" maka akan terpampanglah nama laman web kami.

Itulah kenangan terindah dalam dunia perniagaan online kami.

Selain melalui Google, saya juga menggunakan Facebook Fanpage sebagai medium utama pemasaran kami.

Pada tahun kedua, entah macam mana (hahaha ni yang tak syok nak cerita nie), perniagaan kami semakin merosot. Kenapa ya??

Ikuti episod ketiga kisah dunia perniagaan online kami ini.

Pengajaran Yang Paling Bermakna

Perniagaan online kad kahwin secara tiba-tiba menjadi semakin popular di internet.

Kehadiran internet marketer yang mempromosi pakej mudah memulakan perniagaan online kad kahwin menyebabkan perniagaan online kad kahwin semakin bercambah-cambah di internet bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Ini bermakna persaingan dalam perniagaan menjadi semakin sengit dan ini juga bermakna "price-war" pasti akan tercetus. 

"Price-war" adalah satu perkara yang memeritkan lebih-lebih lagi bagi perniagaan online yang masih belum benar-benar stabil.

Google sebagai enjin carian utama juga adalah antara penyebab banyak perniagaan online melaburkan tirainya kerana kekerapan mereka mengemaskini algorithm untuk menapis laman-laman web yang tidak mengikut format yang ditentukan mereka.

Sebenarnya ini cuma faktor-faktor luaran yang tiada siapa pun boleh menjangkanya.

Apabila saya muhasabah semula mengapa perniagaan online yang kami jalankan merudum, saya dapat kenal pasti bahawa sebenarnya faktor yang paling utama adalah kerana diri saya sendiri yang tidak mempunyai ilmu perniagaan yang betul-betul mantap untuk menghadapi cabaran dalam dunia perniagaan online ini.

Di dalam kebuntuan, setiap hari saya mengadu kepadaNya agar memberikan petunjuk kepada saya bagaimana saya boleh berjaya dalam perniagaan yang saya jalankan.

Setiap hari saya berdoa kepada Allah SWT agar saya dipertemukan dengan orang yang boleh membimbing saya berjaya dalam menaikkan perniagaan saya.

Bagaikan Cahaya di Hujung Terowong Yang Gelap Gelita

Di dalam pencarian, saya ingat lagi sewaktu saya mengGoogle mengenai panduan bagaimana mengerjakan solat sunat Tahajjud, saya terjumpa satu blog yang benar-benar menarik hati saya.

Dalam blog itu, penulisnya banyak menceritakan suka duka perjalanan hidup beliau dalam membina empayar perniagaan beliau.

Penulis blog berkenaan banyak menekankan mengenai asas utama yang perlu disematkan di dalam hati apabila kita berhasrat untuk memulakan perniagaan. Dalam erti kata lain, niat dan matlamat apabila kita berniaga.

Jadi apakah matlamat kita apabila berniaga? Adakah sebab nak jadi kaya atau nak jadi jutawan? Ataupun supaya dipandang tinggi dan dihormati?? No No No .... jangan sesekali meletakkan matlamat nak jadi kaya apabila kita berniaga. Silap tuu makcik, pakcik.

Sebenarnya saya pun pada mulanya tidak dapat menerima konsep penetapan niat atau matlamat yang beliau tekankan.

Bagi saya, sewaktu awal-awal dulu (semasa berada zaman jahiliyah saya) tujuan berniaga mestilah sebab nak kaya, supaya dapat hidup senang dan seterusnya dapat memberikan kebahagian kepada diri dan ahli keluaga tersayang.

Ternyata saya SILAP (seperti makcik dan pakcik di atas juga, ehh ehh nak jugak kaitkan dengan pakcik dan makcik..hihi).

Inilah kesilapan pertama saya apabila memasuki dunia perniagaan ini.

Penulis blog berkenaan menekankan:

"Jangan berniaga kerana mahu menjadi kaya, sebaliknya berniagalah untuk membantu orang lain, menambah nilai hidup orang lain dan menyelesaikan masalah orang lain. Jika kita berniaga dengan niat untuk membantu orang lain. Jangan risau, kita terpaksa menjadi kaya".

Selain daripada itu penulis juga turut berkongsi mengenai satu formula hebat untuk berjaya yang dikenali sebagai M.E.S.T.I . 

Pengenalan kepada formula hebat ini telah berjaya membuka mata saya bagaimana cara terbaik untuk menjalankan apa sahaja jenis perniagaan, tak kiralah sama ada perniagaan berbentuk online ataupun offline.

Selepas membaca dan meneliti apa yang penulis cuba sampaikan, saya tersentak, ibarat orang yang sedang tidur nyenyak disiramkan dengan sebaldi air sejuk.

Konsep yang penulis blog berkenaan cuba sampaikan bagi saya memang hebat.

Anda nak tahu? InsyaAllah nanti saya akan kongsikan dengan anda ya. Sabar-sabar,

Saya yakin inilah ilmu yang saya cari-cari selama ini yang perlu saya dalami sedalam-dalamnya.

Saya yakin dengan ilmu yang disampaikan inilah yang akan membawa saya ke peringkat seterusnya yang lebih baik atas satu matlamat yang hakiki iatu "Ke Arah Kejayaan Duniawi & Ukhrawi" yang turut menjadi tagline blog Ezlaila.com ini.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana atas keizinanNya saya telah diberikan petunjuk yang saya cari-cari selama ini.

Dan saya doakan kepada penulis blog berkenaan agar beliau berjaya dalam kehidupan beliau dan seterusnya berjaya dalam usaha murni beliau memberi kesedaran dan motivasi kepada anak bangsa kita yang berminat dalam menceburi apa sahaja bidang perniagaan agar lebih berjaya dalam erti kata yang sebenar.

Saya juga berazam dan berdoa, sekiranya Allah SWT mentakdirkan saya berjaya dalam perniagaan selepas mempraktikkan setiap ilmu yang diberikan kepada saya, saya akan sebarkan dan kongsikannya kepada semua agar mereka juga berjaya dalam perniagaan, InsyaAllah.

InsyaAllah, dalam post yang akan datang saya akan berkongsi dengan pembaca mengenai M.E.S.T.I.

Sekiranya anda merasakan ada pengajaran yang menarik daripada perkongsian ini, saya alu-alukan anda untuk berkongsi dengan rakan-rakan anda dengan cara klik pada button LIKE di bawah ini.

Terima kasih kerana membaca. Wasalam.


6 comments:

  1. sampai terjebak dibuatnya ye.

    hehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha, nak wat camner, Cikgu Titan. Inilah takdir namanya. Tak gitu :)

      Delete
  2. Replies
    1. Thanks Reezluv, semoga sedikit sebanyak mendapat pengajaran daripada perkongsian ini.

      Delete
  3. Teringin jgk nk buat bisnes kad kawin.. tp xtau cmna nk mula.. kalau saudara sudi utk berkongsi.. basic pn memadai..

    ReplyDelete
  4. Teringin jgk nk buat bisnes kad kawin.. tp xtau cmna nk mula.. kalau saudara sudi utk berkongsi.. basic pn memadai..

    ReplyDelete